22 Jul 2011

Adab Meminum Air Zamzam





Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah


Adab Meminum Air Zamzam

Adab ketika minum air zamzam itu sebagaimana yang disebutkan oleh sebahagian Fuqaha adalah termasuk dalam hukum sunat, antaranya:
1. Menghadap kiblat.
2. Menyebut nama Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebelum minum.
3. Bernafas sebanyak tiga kali ketika minum dan ketika bernafas itu hendaklah di luar bekas atau gelas itu (yakni tidak minum dengan sekali teguk sehingga habis, bahkan minum dengan berhenti sebanyak tiga kali).
4. Minum sehingga kenyang, kerana orang munafiq tidak meminumnya sehingga kenyang.
5. Mengucapkan syukur kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala setelah selesai minum. Sebagaimana disebutkan oleh Ibnu Majah:
Maksudnya: "Daripada Muhammad bin ‘Abdurrahman bin Abu Bakr katanya: "Ketika aku duduk di sisi Ibnu ‘Abbas datang seorang lelaki kepadanya, lalu berkata Ibnu ‘Abbas: "Dari mana engkau datang?"
Lelaki itu berkata: "Dari perigi zamzam."
Ibnu ‘Abbas berkata: "Apakah engkau minum dari perigi itu sebagaimana yang sepatutnya."
Lelaki itu berkata: "Bagaimana?"
Ibnu ‘Abbas berkata: "Apabila engkau minum air zamzam, maka menghadaplah ke kiblat, sebut nama Allah dan bernafaslah tiga kali (waktu minum). Minumlah air zamzam sehingga kenyang dan jika sudah selesai maka pujilah Allah ‘azza wajalla. Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Sesungguhnya tanda yang membezakan antara kita dengan orang-orang munafiq, sesungguhnya mereka tidak minum air zamzam itu sehingga kenyang."
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
Antara adabnya lagi:
6. Setiap kali mengambil nafas ketika minum air zamzam, melihat ke arah Kaabah.
7. Sunat masuk ke tempat perigi zamzam dan melihatnya. Kemudian menggunakan timba yang ada di sana lalu meminumnya serta memercikkan air zamzam itu ke kepala, muka dan dada.
8. Memperbanyakkan doa ketika minum dan mengharapkan kebaikan di dunia dan akhirat. Sunat dibaca seperti di bawah ini:
Ertinya: "Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya telah sampai kepadaku NabiMu Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Air zamzam itu diminum untuk keperluan apa saja." Dan aku meminumnya supaya…………."
Sesudah membaca seperti di atas, berdoalah lagi untuk memohon kebaikan di dunia dan akhirat, kemudian membaca bismillah, lalu minum dan mengambil nafas sebanyak tiga kali. ‘Abdullah bin ‘Abbas Radhiallallahu ‘anhuma berdoa ketika minum air zamzam:

Ertinya: "Ya Allah Ya Tuhanku, aku mohon padaMu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas dan sembuh daripada segala penyakit."
Untuk memohon keampunan atau kesembuhan daripada penyakit, bacalah doa seperti di bawah:
Ertinya: "Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya telah sampai kepadaku bahawa RasulMu Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Air zamzam itu diminum untuk keperluan apa saja." Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya aku meminumnya supaya Engkau ampuni dosaku, Ya Allah ampunilah aku. Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya aku meminumnya supaya Engkau sembuhkan sakitku, Ya Allah sembuhkanlah aku."
Selain berdoa untuk kepentingan diri sendiri bagi memohon kebaikan di dunia dan akhirat, memohon juga untuk orang lain seperti anak atau sanak saudara misalnya, akan tercapai permohonan itu juga jika dia meminum air zamzam tersebut dengan niat yang betul.
Memindahkan Air Zamzam
Memindahkan air zamzam daripada Makkah atau tanah haram kepada tanah halal atau keluar daripada Makkah adalah harus. Daripada ‘Urwah bin Az-Zubair katanya:
Maksudnya: "Sesungguhnya ‘Aisyah membawa air zamzam dan dikhabarkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan yang demikian itu."
(Hadis riwayat Al-Baihaqi)
Penggunaan Air Zamzam Selain Untuk Diminum
Beristinja’ (bersuci daripada dua jalan qubul dan dubur), menurut Al-Khatib dan Ibnu Hajar, makruh beristinja’ dengan menggunakan air zamzam. Sementara pendapat Syaikhuna adalah khilaful Awla (bertentangan dengan yang lebih utama). Kerana air zamzam itu mempunyai kehormatan. Menurut Al-Bulqini, air zamzam itu lebih afdhal daripada air Kawtsar.
Termasuklah dalam hukum makruh dan khilaful awla di atas, air yang keluar daripada jari-jari Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, air Kawtsar dan air yang dirampas.
Dikatakan juga, sesiapa beristinja’ dengan air zamzam, nescaya dia akan mewarisi penyakit bawasir. Jika dia beristinja’ juga dengan air zamzam tersebut, maka dengan air itu dia suci (dia dapat membersihkan najisnya).
Harus menggunakan air zamzam itu untuk mandi dan berwudhu. Adapun menggunakan air zamzam bagi memandikan mayat hendaklah dielakkan.
Berjual Beli Dengan Air Zamzam
Setakat ini kita belum jumpa keterangan khusus mengenai hukum jual beli air zamzam itu. Bagaimanapun berdasarkan kaedah:
Ertinya: "Asal suatu perkara itu adalah harus, sehingga ada dalil syara‘ yang mengharamkannya."
Maka berdasarkan kaedah ini, harus air zamzam itu diperdagangkan atau dijual dan dibeli.
Demikianlah beberapa penjelasan mengenai air zamzam dan kelebihannya, rahsia serta manfaat yang boleh kita perolehi. Di samping itu juga, ia adalah sebagai tanda kebesaran Allah di mana air zamzam itu masih dapat kita nikmati dan tidak kering sehingga zaman ini.

http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/2002/ic39_2002.htm

Tidak ada komentar:

Posting Komentar